Yusoff Zaky insan media berbakat, serba boleh
Oleh Hasliza Hassan
ILMU bermanfaat yang ditinggalkan atas daya usaha tidak mengenal penat tokoh pengamal media Islam, Allahyarham Datuk Yusoff Zaky Yacob, mendapat pengiktirafan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Perdana Media Islam pada Majlis Anugerah Media Islam Malaysia ketiga (Amin 3). Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam kelmarin menghargai jasa anak kelahiran Kota Bharu yang berjaya menterjemah karya Sayyid Qutb berjudul Fi Zilal Al-Quran ke dalam bahasa Melayu sebanyak 17 jilid dengan tajuk Di Bawah Naungan Al-Quran. Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A Aziz Deraman ketika membacakan kisah perjuangan insan media itu berkata, rasa takut memburu Allahyarham sepanjang tempoh menyiapkan terjemahan karya itu.
Katanya, Yusoff bimbang tidak mampu memenuhi cita-cita yang bertunas sejak 1952 apatah lagi proses penterjemahan berlarutan kira-kira 11 tahun untuk dijayakan sebelum beliau menyahut panggilan Ilahi pada 19 Januari 1999. “Ini tidak mampu diungkapkan bahawa seluruh usia Ustaz Yusoff diabadikan sebagai insan media untuk berdakwah, selain sumbangan beliau dalam kerja mengarang, menterjemah, menyelidik, menerbit dan mencetak,” katanya. Anugerah Media Perdana disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom kepada anak sulung Allahyarham Yusoff, Nasir Zihni. Selain trofi, penerima Anugerah Media Islam membawa pulang wang tunai RM10,000, set kitab Fi Zilal Al-Quran berharga RM3,000 dan sijil.
Hadir sama, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz. Allahyarham Yusoff juga terkenal kerana tulisan serta terjemahan beliau dalam pelbagai bidang antaranya Menuju Revolusi Islam (1953),Dari Rahim ke Dunia(1957), Falsafah Qiamat (1958), Mencari Kejernihan Jiwa (1959), Erti Surah al Baqarah Prinsip-Prinsip Ilmu Masyarakat (1959). Selain ilmu agama, beliau turut menulis mengenai bidang psikologi merangkumi Psikologi Remaja (1955), Psikologi Kanak-Kanak (1960), Psikologi Takut (1965), Ilmu Jiwa (1970) dan Memahami Jiwa Manusia (1996). Anak kepada seorang ulama Kelantan terkenal, Tuan Guru Haji Yaacob Lorong Gajah Mati itu menerima pendidikan awal daripada ayahnya dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Mesir pada 1949.
Pulang dari Mesir dengan cita-cita menjadi pengarang, beliau menubuhkan Pustaka Dian Press pada 2 Mac 1957 bagi maksud mencetak dan menerbit sendiri buku karangannya. Pada Julai 1961, beliau menerbitkan majalah Dian, kemudiannya majalah Santajiwa (1965). Dalam bidang sastera, beliau banyak menterjemah cerpen tokoh penulis Timur dan Barat untuk majalah Dian dan Santajiwa, di samping dikenal sebagai penulis puisi berbakat di bawah nama samaran “Saujana”, dan penulis novel sindiran yang tidak sempat disiapkan berjudul Komidi Syaitan. Nasir pula berkata, kecintaan terhadap ilmu dan penulisan menyebabkan sebahagian besar usia bapanya dihabiskan menghasil karya khususnya berkaitan agama Islam, pemikiran, kemasyarakatan, bahasa dan psikologi. Bahkan katanya, hampir 70 peratus keluasan rumah mereka dijadikan dewan musyawarah dan perpustakaan sementara setiap Ramadan sebagai surau untuk solat Tarawih bagi penduduk setempat. “Mungkin ramai tidak tahu di sebalik kesibukan berkarya ayahanda saya menghidap pelbagai penyakit kronik hingga pernah terlantar di hospital selama 11 bulan. Kepada anak, Allahyarham berpesan supaya jangan sekali berputus asa dengan rahmat Allah. “Bagi pihak keluarga, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas pemilihan ayahanda kami sebagai penerima Anugerah Perdana Media Islam. Semoga usaha dan sumbangan beliau diterima sebagai amal jariah yang pahalanya berkekalan,” katanya. Amin 3 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertandingkan 34 anugerah merangkumi enam kategori utama iaitu Anugerah Penerbitan TV, Anugerah Penerbitan Radio, Anugerah Penerbitan Media Cetak, Anugerah Penerbitan Drama, Anugerah Laman Web serta Anugerah Perdana Media Islam Negara. Penganjur juga memperkenalkan anugerah baru iaitu Anugerah Khas Juri yang dipilih daripada kalangan calon yang tidak terpilih sebagai pemenang kategori tetapi dirasakan patut diberi anugerah kerana memiliki kriteria tertentu.
No comments:
Post a Comment