Tuesday, November 24, 2009

Bahaya Taklid Dalam Tauhid

Oleh DR. ASMADI MOHAMED NAIM
Umat islam hanya mentauhidkan Allah yang esa dan tidak menyembah makhluk lain.

APABILA ditanya dari mana nas al-Quran dan sunnah yang menyebut pembahagian yang jelas bagi tauhid tiga serangkai iaitu tauhid uluhiah, tauhid rububiah dan tauhid asma' wa sifat, pendokongnya yang mengaku berpegang dengan al-Quran dan sunnah pun, teragak-agak mendatangkan hujah.
Lantas mendatangkan hujah-hujah berbentuk taklid iaitu WAMY, ulama-ulama lain dan silibus-silibus beberapa buah universiti yang menyokong. Itu sebenarnya taklid.
Kadang-kadang didatangkan nukilan al-Baghdadi dalam al-Farq Baina al-Firaq berkaitan dengan tafsiran perkataan 'ahlussunnah' sebab mahu bergantung dengan ulama silam Ahlussunnah, namun ditiadakan syarahan bahawa Imam al-Baghdadi sebenarnya mensyarahkan tauhid Sifat di dalam kitab tersebut apabila beliau mensyarahkan firqah najiah (firqah yang selamat). Bahkan perkataan 'tauhid-tauhid sifat' dalam definisi tersebut diabaikan. Walhal itulah antara sifat-sifat 20.
Lihat bagaimana Imam al-Baghdadi mensyarahkan pandangan Ahlussunnah dalam mentauhidkan sifat Allah SWT: "Mereka ijmak bahawa tempat tidak meliputiNya (Allah SWT tidak bertempat) dan masa tidak mengikatnya, berbeza dengan firqah al-Hasyamiah dan al-Karamiah, yang mengatakan Allah memegang arasynya". (Lihat Al-Baghdadi, al-Farq Baina al-Firaq, hal.256).
Dalam isu tauhid, amat merbahaya kita bertaklid. Sepatutnya didatangkan nas-nas yang jelas berkaitan pembahagian tiga serangkai tersebut bersesuaian sekiranya kita bersarjanakan al-Quran dan sunnah.
Kalau berdoa selepas solat secara berjemaah yang tidak ditunjuk oleh hadis secara jelas pun dituduh bidaah dan sesat oleh sesetengah orang (walau berdoa disuruh dalam al-Quran dan sunnah), apatah lagi isu pokok dan besar seperti tauhid.
Apabila ditanya, mana dalil al-Quran dan sunnah apabila anda mengatakan penyembah berhala bertauhid dengan tauhid rububiah (tanpa tauhid uluhiyah)? Lantas akan dinyatakan kata-kata si polan dan polan mengatakan perkara ini dan di sokong pula dengan ulama-ulama ini dan ini.
Persoalan saya: Kenapa tidak ada sepatah pun ayat al-Quran dan hadis atau kata-kata ulama-ulama Salafussoleh (tiga kurun pertama) mengenai perkara ini?
Memang benar ada ayat yang bermaksud: Dan jika engkau bertanya kepada mereka, siapakah yang menciptakan mereka, nescaya mereka menjawab: Allah; jadi bagaimana mereka dapat dipalingkan (dari menyembah Allah SWT). (al-Zukhruf: 87).
Dalil ini digunakan untuk menunjuk- kan orang-orang Musyrik (penyembah berhala) beriman dengan iman rububiah. (Mohd. Naim Yasin, hal.11).
Namun kenapa tidak dicantumkan dengan ayat selepasnya? Dan (Allah mengetahui) ucapannya (Muhammad): Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang tidak beriman. (al-Zukhruf: 88).
Tidak pula al-Quran mahupun sunnah menyebut orang-orang Musyrik beriman dengan tauhid rububiah sahaja! Ini persoalan akidah, sepatutnya ada nasnya secara jelas.
Sebaliknya al-Quran mengatakan dengan jelas bahawa mereka bukan orang yang beriman. Bagaimana kita boleh mengubahnya mengatakan mereka beriman dengan tauhid rububiah? Mana dalilnya sebab ini persoalan akidah?
Ini adalah taklid. Kenapa kita membenarkan taklid dalam soalan akidah sebegini? Kita amat tidak adil apabila membenarkan taklid pada persoalan akidah sebegini.
Lantas kemungkinan saya pula ditanya: Apa dalil kamu dari al-Quran dan sunnah yang menyebabkan kamu mengkhususkan Sifat 20 untuk Allah SWT?
Maka saya berkata: "Bahawasanya Allah SWT bersifat dengan segala sifat kesempurnaan, dan maha suci dari segala kekurangan. Sesungguhnya ketuhanannya melazimkan kesempurnaan mutlak secara khusus untuk ZatNya.
"Kemudian, kami memilih sifat-sifat terpenting daripada sifat-sifatNya yang maha sempurna dan kami menjelaskannya secara terperinci perkara-perkara dan keyakinan-keyakinan yang berkaitan dengannya (Lihat al-Buti, 1992, Kubra al-Yaqiniyat al-Kauniyyah, h108).
Adalah satu fitnah sekiranya kami dikatakan menghadkan sifat Allah SWT kepada 20 sahaja!
Saya mungkin ditanya lagi: Mana dalilnya dari al-Quran dan sunnah? Saya akan mengatakan bahawa semua sifat dua puluh itu ada dalilnya di dalam al-Quran dan sunnah. Kalau mahu diperincikan, boleh dilihat dalam semua buku yang mensyarahkan Sifat 20.
Saya ditanya lagi: Bukankan Sifat 20 itu susunan Muktazilah? Saya berkata: Sekiranya saudara membaca sejarah Islam silam, saudara akan memahami bahawa pada zaman Khalifah Abbasiah iaitu Ma'mun bin Harun ar Rasyid (198H-218H), al-M'tashim (218H-227H) dan al-Watsiq (227H-232H) adalah khalifah-khalifah penganut fahaman Muktazilah atau sekurang-kurangnya penyokong-penyokong yang utama dari golongan Muktazilah.
Dalam sejarah Islam, dinyatakan terjadinya apa yang dinamakan 'fitnah al-Quran itu makhluk' yang mengorbankan beribu-ribu ulama yang tidak sefaham dengan kaum Muktazilah.
Pada masa itu, Imam Abu Hassan al-Asy'ari muda remaja, dan belajar kepada seorang Sheikh Muktazilah, iaitu Muhammad Abdul Wahab al-Jabai (wafat 303H).
Imam Abu Hassan al-Asy'ari (wafat 324H) melihat terdapat kesalahan besar kaum Muktazilah yang bertentangan dengan iktiqad (keyakinan) Nabi SAW dan sahabat-sahabat baginda, dan banyak bertentangan dengan al-Quran dan sunnah. Lantas beliau tampil meninggalkan fahaman Muktazilah dan menongkah hujah-hujah kaum Muktazilah.
kefahaman masyarakat
Bermula dari itulah, Imam Abu Hassan al-Asy'ari melawan kaum Muktazilah dengan lidah dan tulisannya. Justeru, susunan tauhidnya bermula setelah dia berjuang menentang Muktazilah dan mengembalikan kefahaman masyarakat kepada al-Quran dan sunnah.
Di atas jalannya, ulama silam menelusuri, antaranya ialah Imam Abu Bakar al-Qaffal (wafat 365H), Imam Abu Ishaq al-Asfaraini (wafat 411H)., Imam al-Hafiz al-Baihaqi (wafat 458), Imam Haramain al-Juwaini (wafat 460H), Imam al-Qasim al-Qusyairi (wafat 465H), Imam al-Baqilani (wafat 403H), Imam al-Ghazali (wafat 505H), Imam Fakhrurazi (wafat 606H) dan Imam Izzuddin bin Abd Salam (wafat 660H). (Lihat Kiyai Sirajuddin Abbas (2008). Aqidah ahlussunnah wal Jamaah, h21-23).
Tidak pernah wujud pertelingkahan antara penghuraian Imam Abu Hassan al-Asy'ari dan Imam al-Maturidi dengan pengikut-pengikut mazhab fiqh yang empat.
Kemudian saya mungkin diperlekeh kerana pengajian sifat 20 ini bentuknya kaku, lantas contoh sindirannya ialah: "Wujud maksud ada, lawannya tiada.... akhirnya semuanya tiada".
Saya katakan sememangnya cara perbahasan Sifat 20 kena diperbaharui dan diringkaskan.
Dalil-dalil al-Quran berkaitan sifat tersebut perlu lebih dipertekankan berbanding dengan dalil-dalil akal yang rumit-rumit yang mungkin zaman kita tidak memerlukannya.
Pada saya, mungkin penulisan seorang ulama Indonesia Kiai Sirajuddin Abbas bertajuk: Aqidah Ahlussunnah wal Jamaah, boleh digunakan untuk memudahkan kefahaman pembaca. Buku ini masih banyak dijual di toko-toko buku di Wisma Yakin, Kuala Lumpur.
Saya kemudian ditanya berkaitan dengan sahabat-sahabat saya yang mungkin belajar dan mengajar tauhid tiga serangkai ini?
Saya katakan pengalaman saya mendengar pensyarah-pensyarah dan sahabat-sahabat saya yang mengajar tauhid pecah tiga ini, ada di kalangan mereka tidak ekstrem, tidak sampai mengkafirkan/mensyirikkan golongan yang tidak sependapat.
Contohnya bila memperkatakan tawassul dan menziarahi kubur, ada di kalangan mereka menerimanya tanpa mengkafirkannya atau menyesatkannya.
Demikian juga persoalan penafsiran ayat-ayat sifat, ada yang tidak menerima/ tidak taklid bulat-bulat kenyataan Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab, dan lebih kepada menyerahkan kepada Allah SWT. Mereka lebih suka merujuk terus ke Ibn Taymiyyah berbanding Sheikh Abd Wahhab.
Di kalangan mereka (mengikut cerita adik saya ketika dia belajar di Universiti Yarmuk, Jordan), pensyarah Aqidahnya mengatakan: Kamu orang-orang Malaysia, ramai mengikut Ahlu sunnah aliran Asyairah.
Namun, tauhid yang diajarkan ini mengikut susunan Ibn Taymiyah kerana menjadi silibus Universiti ini (pada masa itu). Terserah kepada kamu mengikut keyakinan Asyairah itu (tanpa beliau menyesatkannya).
Mereka menyedari ramai ulama silam (sama ada muhadithin, fuqaha' atau mufassirin) dari kurun ke tiga Hijrah berpegang kepada huraian Imam Abu Hassan al-Asy'ari (wafat 324H) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (wafat 333H).
Walaupun begitu, ada yang amat ekstrem dalam pegangannya sehinggakan menyesatkan imam-imam terdahulu yang berada dalam lingkungan ratusan tahun.
Semoga pembaca membuat pertimbangan dan terbuka berkaitan isu ini. Pada saya berpegang pada tauhid susunan dan huraian orang yang dekat dengan Rasulullah SAW (al-'ali) lebih selamat dari berpegang kepada tauhid orang terkemudian dan sekarang yang kelihatan cacar marba metodenya dan bertaklid dengan orang-orang baru (al-nazil).
Semoga Allah SWT menyelamatkan kita dari kesesatan dan menganugerahkan kita jalan yang lurus.

Friday, November 6, 2009

Bahaya Wahabi

GERAKAN Wahabi diasaskan Imam Muhamad bin Abdul Wahhab At-Tamimi (1703-1791). Beliau muncul ketika pengaruh mazhab Hambali sedang merosot dan umat Islam ketika itu melakukan pencemaran akidah seperti khurafat dan bidaah.

Perkembangan fahaman berkenaan di Malaysia kebanyakan dibawa pelajar yang pernah menuntut ilmu agama di negara Arab yang terpengaruh dengan ajaran itu.
Kehadiran golongan itu di sini dapat dirasakan berikutan ada pengikutnya berani mencerca ulama ahlu Sunnah Wal-Jamaah termasuk amalan sunat yang terdapat dalam ajaran Islam seperti doa qunut dan berzikir selepas solat.Aliran Wahabi ibarat api dalam sekam dan boleh mengancam negara dan menyebabkan umat Islam bergaduh sesama sendiri jika tidak dibendung pihak berkuasa agama di Malaysia.

Mereka juga seperti musuh dalam selimut kerana sukar untuk mengenal pasti golongan ini apatah lagi mereka turut hadir dalam majlis agama, bersolat di masjid atau surau dan tidak mengaku diri mereka pengikut ajaran Wahabi.Bagaimanapun, secara halus mereka menyusup dalam kelompok masyarakat Islam di negara ini dengan menghina mazhab Ahlu Sunnah Wal-Jamaah yang menjadi rujukan umat Islam dengan membawa Islam mudah sehingga masyarakat keliru.
Mazhab Ahlu-Sunnah dalam syariat beragama sangat penting bukan saja kepada umat Islam sendiri, malah seluruh masyarakat.
Fahaman Wahabi turut menolak ijmak dan qias. Ijmak ialah persepakatan dalam hukum syarak di kalangan umat Islam dari satu zaman ke satu zaman selepas Nabi Muhamad s.a.w wafat.
Ini jelas dibuktikan dengan firman Allah s.a.w yang bermaksud: "Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya) dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman. Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali." (Surah an-Nisaa', ayat 115).
Jadi, wajib kita mengikut apa yang diputuskan ijmak kerana ia senarai yang ketiga terpenting daripada sumber perundangan Islam. Menurut Ahli Jawatankuasa Pemantauan Akidah dan Pentauliahan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Ustaz Mahfuz Mohamad, fahaman Wahabi bertapak di negara ini sejak awal tahun 1900 apabila Sheikh Abdul Hadi membuka sekolah agama di Melaka.
"Bagaimanapun, sekolah itu tidak mendapat sambutan dan beliau berpindah ke Pulau Pinang. Melalui sekolah itu lahir tokoh fahaman Wahabi iaitu Sheikh Abu Bakar al-Ashaari.
"Selepas menamatkan pengajian di sekolah terbabit pada tahun 1925 beliau menyambung pengajiannya di Mesir dan pulang ke negara ini pada tahun 1932.
"Beliau menyebar fahaman Wahabi di Pulau Pinang, tetapi mendapat tentangan hebat ramai tokoh ulama ahlu Sunnah, antaranya Sheikh Abdullah Fahim. "Beliau lari ke Kedah dan kemudian menetap di Perlis bagi menyebarkan fahaman Wahabi," katanya. Mahfuz berkata, ketika itu ia dinamakan fahaman muda atau mudah kerana mereka selalu bermudah-mudahan.
Ini dicatatkan di dalam Kitab Senjata Syariat yang diterbitkan pada tahun 1953 khas bagi menjawab gerakan Wahabi oleh tiga tokoh ulama besar ketika itu: Sheikh Abdullah Fahim, Haji Ahmad Tun Hussein Pokok Sena dan Sheikh Abdul Rahman Abdullah Merbok.
Abu Bakar as-Ashaari pernah menerbitkan buku bertajuk Ibadah Rasulullah s.a.w yang menimbulkan keraguan kerana 'menjelmakan' petua menghalalkan memakan biawak, ular, labi-labi dan penyu. "Di dalam buku itu, Abu Bakar as-Ashaari mencaci amalan bermazhab yang dikatakan haram dan bidaah dalal.
"Ulama ketika itu sudah memberi amaran bahawa gerakan Wahabi sudah menyusup dalam masyarakat dan perlu membendung segera," katanya.
Hasil ketegasan ulama sebelum ini, fahaman Wahabi kian menyepi, tetapi kini muncul kembali berikutan banyak kelonggaran yang diberikan kepada sesiapa sahaja atas 'tiket' menyebarkan Islam.

"Golongan Wahabi tidak berpegang kepada mana-mana mazhab kononnya hanya berpegang kepada al-Quran dan hadis. "Tetapi, sejarah membuktikan ramai tokoh tersohor Islam seperti Imam Nawawi, Imam al-Ghazali, Termidzi, Bukhari dan Muslim berpegang kepada mazhab yang empat itu," katanya.
Katanya, tuduhan Wahabi terhadap beberapa amalan yang sudah menjadi kebiasaan masyarakat Islam di Malaysia seperti doa qunut, membaca al-Quran di atas kubur dan wirid selepas solat membuatkan umat keliru. Merujuk kepada buku Makna Sebenar Bid'ah : Satu Penjelasan Rapi yang dikarang oleh Abdullah al-Siddiq al-Ghumari yang turut disemak oleh Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Murtadza Ahmad, Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md Hashim Yahya serta Yang di Pertua Persatuan Ulama Malaysia, Saleh Ahmad menyebutkan ulama bersepakat mengenai pembahagian bid'ah antara yang terpuji dan tercela. Orang pertama yang mengatakan demikian ialah Umar r.a.
Ulama juga bersepakat bahawa sabda Rasulullah s.a.w yang menyebutkan: "Setiap yang bid'ah itu sesat" adalah hadis umum yang perlu dikhususkan. Imam al-Syafie berkata: "Setiap yang mempunyai sandarannya dari sudut syarak, bukannya bid'ah sekalipun tidak diamalkan oleh generasi salaf. Mereka meninggalkan perkara itu mungkin kerana keuzuran."
Al-Imam Ibn Lub dalam menyangkal pendapat golongan yang tidak menyenangi amalan berdoa selepas sembahyang mengatakan perkara berkenaan tidak diamalkan generasi salaf.
Namun, tidak mungkin mengatakan hukumnya haram atau makruh kerana perkara yang dilakukan itu mempunyai asas dalam syarak.
Mengenai amalan membaca wirid beramai-ramai selepas sembahyang. Memang ia tidak pernah berlaku pada zaman Nabi s.a.w, tetapi tidak haram. Sesiapa yang mendakwa amalan ini diharamkan bererti dia melakukan pembohongan atas nama Allah s.w.t.
Pengharaman amalan itu tidak disebut dalam al-Quran dan al-Sunnah. Hadis Muslim yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah menyebutkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Tidaklah berkumpul satu kaum di dalam rumah Allah sambil membaca al-Quran dan mengulangkaji antara sesama mereka melainkan turunlah kepada mereka ketenangan, dan mereka diliputi oleh rahmat dan dinaungi oleh malaikat, dan Allah menyebut perihal mereka kepada makhluk yang di sisiNya." Hadis ini memberikan kefahaman bahawa membaca al-Quran secara beramai-ramai di dalam masjid adalah disyariatkan.
Dalam Sahih Muslim terdapat juga hadis yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asya'ari daripada nabi s.a.w yang bersabda yang maksudnya: "Selalulah membaca al-Quran, demi Dia Yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, al-Quran itu lebih mudah terlepas (hilang) daripada unta yang diikat." (Muslim. Kitab Salah al-Musafirin (231/791).
Kesimpulannya, dari segi tauhid, fahaman Wahabi bukan ajaran baru atau termasuk antara 73 cabang ajaran sesat, cuma ia boleh menimbulkan suasana tegang dalam masyarakat Islam kerana pendekatan yang diambil terlalu mudah tetapi bahaya.
INFOAmalan dalam fahaman Wahabi antaranya:
· Dalam mempelajari ilmu Usuludin hendaklah berpegang kepada fahaman yang diasaskan Ibnu Taimiyyah
· Di dalam amalan fiqh pula tidak berpegang kepada mana-mana mazhab, malah boleh berpegang antara satu
sama lain (Talfiq)
· Berpegang kepada sumber al-Quran dan hadis sahih sahaja tanpa berpegang kepada Ijmak dan Qias
· Melarang keras umat Islam berdoa melalui tawassul (perantaraan)
· Melarang ziarah kubur walaupun makam Rasulullah s.a.w
· Menghancurkan tugu peringatan kerana semua itu menjadikan umat Islam syirik
· Melarang membaca qasidah dan berzanji yang memuji Rasulullah s.a.w. tahlil dan seumpamanya
· Melarang umat Islam mengadakan sambutan hari kebesaran Islam seperti Maulid Nabi, Israk Mikraj dan lain-
lain
· Melarang umat Islam belajar sifat 20 dan seumpamanya
· Fahaman Asa'ari iaitu fahaman Ahlu Sunnah Wal-Jamaah dibuang jauh-jauh
· Imam dilarang membaca Bismillah pada permulaan Fatihah
· Tidak boleh membaca wirid-wirid yang memuji Rasulullah s.a.w
· Tidak boleh melagu-lagukan lafaz al-Quran dan laungan azan, tetapi boleh baca dengan lurus sahaja
· Mengadakan majlis zikir secara berjemaah dilarang
· Amalan tariqah dilarang sama sekali
· Amalan berwirid selepas solat berjemaah dilarang keras

Tuesday, October 13, 2009

Tokoh Bulan ini - Drs Abdul Rahman Al-Ahmadi




















Tokoh ini tinggal di Pengkalan batu Pasir Mas. Kebetulan semasa saya ingin mencari budu tempayan tempohari ketika balik hariraya puasa terjumpa beliau. Saya bertanya pada seorang pakcik yang sedang mengkisik tebu untuk dimesin oleh pembantunya ditepi jalan utama Pasir Mas menghala ke KB.

" Assalaamualaikum...tupae ttanyo pokcik...mmano tepak jjua budu ppayae mok poh.." tanyo sayo. Dio jawab "wa'alaikumussalam...oo ssitu sebeghae jale tu..masuk loghong..ikut ghumoh bighu tu..". " jjalae tu ghapak pah ssunga ko..." tanyo sayo lagi. " Hho...ghapat ko ssunga..." pokcik tu jawak lagi. "tapi budu tu kughae doh sedaknyo sejak tuwae dio mati.." kato pokchik tu lagi. "Takpolah...kito nok ggi kenna tepak dio.." sayo royak lagi.

Lanjutan dari perbualan itu...sementara air tebu dibungkus oleh pembantu.. pokcik tu bbaghi lagi akan hal diri dia dan tokoh2 terkenal klate.

Dio ada ajok ggi rumoh dio...namun masa suntuk sebab saya nok ttolok maghi KL doh pada hari tu..jadi terpaksa menolak ajakan dia...insyaAllah lain hari jika umur panjang dan ada jodoh pertemuan akan saya gi cari dia lagi..

Thursday, October 8, 2009

Anugerah Kepada Yusuf Zaky


Yusoff Zaky insan media berbakat, serba boleh

Oleh Hasliza Hassan

ILMU bermanfaat yang ditinggalkan atas daya usaha tidak mengenal penat tokoh pengamal media Islam, Allahyarham Datuk Yusoff Zaky Yacob, mendapat pengiktirafan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Perdana Media Islam pada Majlis Anugerah Media Islam Malaysia ketiga (Amin 3). Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam kelmarin menghargai jasa anak kelahiran Kota Bharu yang berjaya menterjemah karya Sayyid Qutb berjudul Fi Zilal Al-Quran ke dalam bahasa Melayu sebanyak 17 jilid dengan tajuk Di Bawah Naungan Al-Quran. Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk A Aziz Deraman ketika membacakan kisah perjuangan insan media itu berkata, rasa takut memburu Allahyarham sepanjang tempoh menyiapkan terjemahan karya itu.
Katanya, Yusoff bimbang tidak mampu memenuhi cita-cita yang bertunas sejak 1952 apatah lagi proses penterjemahan berlarutan kira-kira 11 tahun untuk dijayakan sebelum beliau menyahut panggilan Ilahi pada 19 Januari 1999. “Ini tidak mampu diungkapkan bahawa seluruh usia Ustaz Yusoff diabadikan sebagai insan media untuk berdakwah, selain sumbangan beliau dalam kerja mengarang, menterjemah, menyelidik, menerbit dan mencetak,” katanya. Anugerah Media Perdana disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom kepada anak sulung Allahyarham Yusoff, Nasir Zihni. Selain trofi, penerima Anugerah Media Islam membawa pulang wang tunai RM10,000, set kitab Fi Zilal Al-Quran berharga RM3,000 dan sijil.
Hadir sama, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz. Allahyarham Yusoff juga terkenal kerana tulisan serta terjemahan beliau dalam pelbagai bidang antaranya Menuju Revolusi Islam (1953),Dari Rahim ke Dunia(1957), Falsafah Qiamat (1958), Mencari Kejernihan Jiwa (1959), Erti Surah al Baqarah Prinsip-Prinsip Ilmu Masyarakat (1959). Selain ilmu agama, beliau turut menulis mengenai bidang psikologi merangkumi Psikologi Remaja (1955), Psikologi Kanak-Kanak (1960), Psikologi Takut (1965), Ilmu Jiwa (1970) dan Memahami Jiwa Manusia (1996). Anak kepada seorang ulama Kelantan terkenal, Tuan Guru Haji Yaacob Lorong Gajah Mati itu menerima pendidikan awal daripada ayahnya dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Mesir pada 1949.
Pulang dari Mesir dengan cita-cita menjadi pengarang, beliau menubuhkan Pustaka Dian Press pada 2 Mac 1957 bagi maksud mencetak dan menerbit sendiri buku karangannya. Pada Julai 1961, beliau menerbitkan majalah Dian, kemudiannya majalah Santajiwa (1965). Dalam bidang sastera, beliau banyak menterjemah cerpen tokoh penulis Timur dan Barat untuk majalah Dian dan Santajiwa, di samping dikenal sebagai penulis puisi berbakat di bawah nama samaran “Saujana”, dan penulis novel sindiran yang tidak sempat disiapkan berjudul Komidi Syaitan. Nasir pula berkata, kecintaan terhadap ilmu dan penulisan menyebabkan sebahagian besar usia bapanya dihabiskan menghasil karya khususnya berkaitan agama Islam, pemikiran, kemasyarakatan, bahasa dan psikologi. Bahkan katanya, hampir 70 peratus keluasan rumah mereka dijadikan dewan musyawarah dan perpustakaan sementara setiap Ramadan sebagai surau untuk solat Tarawih bagi penduduk setempat. “Mungkin ramai tidak tahu di sebalik kesibukan berkarya ayahanda saya menghidap pelbagai penyakit kronik hingga pernah terlantar di hospital selama 11 bulan. Kepada anak, Allahyarham berpesan supaya jangan sekali berputus asa dengan rahmat Allah. “Bagi pihak keluarga, saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas pemilihan ayahanda kami sebagai penerima Anugerah Perdana Media Islam. Semoga usaha dan sumbangan beliau diterima sebagai amal jariah yang pahalanya berkekalan,” katanya. Amin 3 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertandingkan 34 anugerah merangkumi enam kategori utama iaitu Anugerah Penerbitan TV, Anugerah Penerbitan Radio, Anugerah Penerbitan Media Cetak, Anugerah Penerbitan Drama, Anugerah Laman Web serta Anugerah Perdana Media Islam Negara. Penganjur juga memperkenalkan anugerah baru iaitu Anugerah Khas Juri yang dipilih daripada kalangan calon yang tidak terpilih sebagai pemenang kategori tetapi dirasakan patut diberi anugerah kerana memiliki kriteria tertentu.

Monday, September 28, 2009

Peringati Tokoh lampau

Yusof Zaky Yaacob: setelah sepuluh tahun


Oleh NORHISHAM MUSTAFFA


Di kalangan sebahagian orang, menyebut nama Yusoff Zaky Yaacob (Dato’ Haji Yusoff Zaky bin Haji Yaacob) mungkin akan lebih banyak dikaitkan dengan peranan beliau sebagai pengasas Pustaka Dian, pengasas majalah Dian Diages, juga pengasas Mingguan Kota Bharu. Kecuali Pustaka Dian, yang kini dikenali sebagai Dian Darul Naim Sdn. Bhd, dua yang terakhir itu tidak lagi wujud. Selain itu, orang mungkin lebih banyak mengenali Yusoff Zaky Yaacob sebagai antara orang bergelar di Kelantan, yang pernah turut berperanan di dalam Suruhan Perkhidmatan Awam Negeri Kelantan.

Tetapi bagi seorang pengkaji sejarah, khususnya bagi pencinta persuratan Islam, Yusoff Zaky Yaacob sesungguhnya adalah seorang mahaguru, seorang pemikir, seorang pencanai minda, dan sekali gus seorang penggerak revolusi pemikiran sejagat dengan mengambil pendekatan yang cukup Islamik. Beliau adalah seorang aktivis sastera, dan sekali gus adalah seorang pendakwah.

Yusoff Zaky bin Haji Yaacob lahir di Kota Bharu pada 13 Jun 1928, berasal dari keluarga ulama terbilang. Ayah beliau, Tuan Guru Haji Yaacob adalah antara tuan guru yang disegani di Kelantan pada masanya. Pendidikan awalnya diterima di Sekolah Majlis (Ugama) di Kota Bharu, kemudiannya ke Sekolah Arab Jami’ Ismaili di Kota Bharu. Sekolah Jami’ ini merupakan satu-satunya sekolah pondok paling sistematik di kala itu.

Dengan pendidikan asas yang diterimanya di sekolah-sekolah agama (Arab) itu, dengan sendirinya beliau beroleh keupayaan menguasai bahasa Arab dengan baik sejak usia remajanya. Apatah lagi sepanjang pengajiannya di tanah air, beliau diberuntungkan lagi dengan kesempatan berguru daripada tokoh-tokoh pendidik, sekali gus ulama paling kawakan di Kelantan pada masanya. Antara guru-guru yang selalu disebut-sebut oleh beliau ialah almarhum Haji Ahmad Maheer, almarhum Haji Saed Kangkong dan almarhum Haji Nik Abdul Rahman. Namun tentu saja satu lagi nama yang tak pernah diabaikannya ialah ayahandanya sendiri, Haji Yaacob Haji Ahmad.

Selain itu, beberapa lagi nama patut dicatat sebagai guru-gurunya. Antara mereka ialah almarhum Ustaz Khatib Haji Ali dan almarhum Ustaz Haji Wan Sulaiman.

Sementara itu, perlu dicatat, sepanjang menuntut di Sekolah Jami’ itu pula, Yusoff Zaky telah menunjukkan minatnya yang mendalam dalam bidang penulisan, termasuk penulisan makalah agama dan kesusasteraan. Beliau telah menghasilkan sejumlah karangan prosa dan puisi, dan antaranya telah pernah dikirimkan (dan tersiar) dalam pelbagai penerbitan. Majalah Hikmah yang pernah diterbitkan di Kota Bharu awal abad ke-20, adalah antara majalah yang pernah memuatkan tulisan Yusoff Zaky. Bahkan beliau pernah memenangi satu sayembara menterjemah syair daripada bahasa Arab ke Bahasa Melayu anjuran sebuah pawagam milik seorang saudagar Arab di Singapura.

Berikutnya, atas nasihat dari guru-guru dan kawan-kawan baiknya (antaranya ialah almarhum Muhd. Adnan Ariffin dan almarhum Saad Shukri) pada tahun 1949, beliau berangkat ke Mesir dengan menaiki kapal laut. Di Mesir, Yusoff Zaky berusaha dan kemudiannya berjaya mendapat tempat di American Universiti At Cairo (AUC), sebuah universiti yang paling berprestij di Mesir, dianggap sebagai universiti yang fleksibel dan mendahului zamannya dari segi kurikulum dan silibus, kendatipun kurang dikenali di Malaysia berbanding Universiti al-Azhar.

Selama enam tahun Yusoff Zaky di Mesir, khususnya di AUC. Kesempatan bergaul dengan mahasiswa Mesir dan mahasiswa serata dunia yang menuntut di AUC, dipergunakan sebaiknya oleh Yusoff Zaky untuk meluaskan minat asalnya dalam bidang penulisan. Dengan pembacaan yang lebih luas, khususnya dalam Bahasa Arab dan Inggeris, Yusoff Zaky mampu mendalami ilmu kesusasteraan, di samping ilmu-ilmu lain. Penglibatan beliau dalam bidang ini agak menarik, kerana antara lain beliau pernah menjadi penterjemah dan penulis sarikata untuk filem-filem Mesir yang diedarkan/ditayangkan di Indonesia (dan Malaysia juga).

Sekembalinya ke tanahair pada tahun 1955, Yusoff Zaky sepatutnya menjadi pegawai kerajaan, khususnya pegawai agama. Tetapi yang dibawa pulang bukan azam itu. Ternyata, beliau lebih cenderung untuk menjadi seorang pengarang bebas, bahkan kalau boleh untuk menjadi penerbit, malahan lagi kalau mampu untuk memiliki percetakan sendiri. Tidak syak lagi, apa yang disaksikannya dalam dunia penerbitan di Mesir banyak mempengaruhi beliau.

Berasaskan cita-cita tersebut, Yusoff Zaky telah menolak beberapa tawaran kerja yang menjanjikan prestasinya daripada pihak-pihak tertentu di Kelantan dan di luar Kelantan, termasuk dari agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dengan persuratan.

Penglibatan awal Yusoff Zaky Yaacob dengan kemelut perniagaan (penerbitan buku) agak menarik. Ketika pulang dari Mesir, beliau telah menulis sebuah buku psikologi yang berjudul SAIKOLOJI RUMAJA (sebagaimana ejaan asalnya). Manuskrip jawi buku tersebut telah dibawa ke pelbagai penerbitan, namun tak seorang pun pemilik penerbitan di Kelantan pada masa itu yang mahu menerbitkannya, dengan alasan buku-buku sedemikian tidak akan laku di pasaran, berbanding buku-buku pendidikan agama tulen, atau buku-buku sastera ringan, padahal Yusoff Zaky sendiri amat yakin buku sedemikian boleh menarik minat pembeli.

Tanpa rasa putus asa, akhirnya beliau berusaha sendiri. Dengan modal sebanyak 500 ringgit, beliau telah mengupah sebuah percetakan di Kota Bharu mencetak buku Saikologi Rumaja itu, dan beliau sendiri kemudian yang memasarkannya. Benar sebagaimana sangkaannya, buku tersebut mendapat sambutan hangat.

Dan bermulalah sejarah sebuah penerbitan baru di Kelantan, mengekori beberapa penerbitan lain yang sedia ada (antara penerbit-penerbit yang sedia ada itu ialah Al-Ahliyah Press dan Pustaka Aman Press. Adapun Pustaka Aman Press itu, yang masih tegak hingga sekarang, adalah milik abang Yusoff Zaky sendiri, yakni Hassan Yaacob). Penerbitan yang dimaksudkan itu ialah Pustaka Dian, yang pada mulanya beroperasi di sebuah rumah milik orang tua Yusoff Zaky sendiri, kemudiannya berpindah dan berpindah lagi hinggalah ke sebuah gudang di Jalan Tengku Chik, berhadapan dengan Panggung Odeon di Kota Bharu (hari ini pawagam tersebut adalah Bangunan UMNO Kelantan).

Inilah tapak yang menjanjikan. Perjalanan seribu batu harus bermula dengan langkah pertama. Dari kedai di Jalan Tengku Chik, Pustaka Dian meletakkan asas yang cukup kukuh. Beberapa buah buku lain dari karangan Yusoff Zaky sendiri, atau yang diterjemahkannya, diterbitkan (dan mendapat sambutan luar biasa), khususnya mengenai psikologi, antaranya adalah Dari Rahim ke Dunia, Saikologi Takut, Saikologi Kanak-kanak, 1001 Masalah Jiwa Manusia, Mencari Kejernihan Jiwa, Ilmu Masyarakat, Falsafah Revolusi, Menuju Revolusi Ialam, Rahsia Kebahagiaan dan sejumlah buku yang lain. Turut juga diterbitkan ialah buku-buku dari karangan penulis luar, antaranya ialah Falsafah Rukun Islam dan Akhlak Islam, kedua-duanya adalah buah tangan Ustaz Budiman Radhi, seorang pensyarah maktab Al-Ihya’ es-Syarif, Gunung Semanggul, Perak.

Beberapa judul buku terbitan Pustaka Dian juga turut menjadi teks di sekolah-sekolah agama di Kelantan, Terengganu, Perak dan Kedah.

Menyedari perniagaan penerbitan buku boleh memberi manfaat kepada masyarakat (atau boleh menjadi tokoh koporat bagi yang berminat ke arah itu), serentak dengan usaha menerbitkan buku-buku, Yusoff Zaky memulakan projek penerbitan sebuah majalah bulanan bercorak daijes. Majalah itu dinamakan Majalah Dian Daijes, satu-satunya daiges Melayu di kala itu, dan sekali gus tergolong antara majalah Melayu paling berpengaruh dan paling bermutu.

Majalah Dian menjadi sumber paling absah untuk pembaca Melayu mendapatkan ilmu. Selain memuatkan tulisan-tulisan Yusoff Zaky sendiri mengenai psikologi, Dian juga turut memuatkan makalah-makalah politik antarabangsa, sebahagian besarnya berupa sadoran dari majalah-majalah Arab. Dan bagi pencinta sastera Melayu, khususnya para sasterawannya sendiri, majalah Dian adalah sumber untuk membaca cerpen-cerpen dunia yang paling hebat, baik yang ditulis oleh pengarang-pengarang dunia Arab, mahupun yang ditulis oleh pengarang-pengarang Eropah, Amerika, China dan Jepun (walaupun sebahagian besar cerpen-cerpen bukan-Arab yang diterjemahkan itu, sebenarnya adalah diterjemahkan semula dari edisi Bahasa Arab yang pernah termuat di dalam sekian banyak majalah Arab. Dan antara penterjemah cerpen-cerpen itu adalah Yusoff Zaky sendiri).

Untuk peringkat awal, majalah Dian hampir tidak menerima sumbangan penulis-penulis luar, melainkan bagi halaman “komentar” dan puisi. Tulisan-tulisan di dalam Dian keseluruhannya ditulis dan diterjemahkan/disadurkan oleh staf Dian sendiri, antaranya adalah Mohd. Zain Salleh (Razin MS). Bagaimanapun, pada tahap-tahap akhirnya, majalah Dian banyak menerima dan memuatkan makalah-makalah serta cerpen-cerpen penulis Malaysia sendiri; bahkan Pustaka Dian turut juga menerbitkan siri buku-buku sastera karangan penulis-penulis Malaysia, antaranya ialah antologi cerpen S.Othman Kelantan, Asmaranda, Mohd. Affandi Hassan dan beberapa penulis lain.

Ini juga serentak dengan adanya (kemudian, khususnya setelah Pustaka Dian memiliki premis baru) tenaga-tenaga baru yang turut membantu majalah DIAN. Antara tenaga-tenaga itu termasuklah Drs. Abdul Rahman al-Ahmadi, Muhammad Labib Ahmad dan almarhum Abdullah Yusoff. Almarhum Dr. Abdullah Tahir pernah juga membantu majalah Dian secara sambilan.

Dari sebuah rumah kedai di Jalan Tengku Chik, Pustaka Dian kemudiannya berpindah ke bangunan sendiri di Lundang, Kota Bharu. Jika percetakan di Jalan Tengku Chik masih menggunakan sistem “huruf atur” dengan mesin cetak konvensional, keadaannya segera berubah setelah berpindah ke Lundang. Pernah diceritakan, bahawa ketika majalah Dian atau buku-buku lain diterbitkan dari Jalan Tengku Chik, proses aturhuruf semuanya menggunakan “huruf atur”, dan antara orang yang turut mengatur-huruf itu termasuklah Yusoff Zaky sendiri. Sebaliknya di Lundang, sistem percetakan menjadi lebih moden, dan terus bertambah canggih dari setahun ke setahun.

Dari pejabat di Lundang ini jugalah, pernah terbitnya Mingguan Kota Bharu pimpinan Mohd. Zain Salleh. Diterbitkan juga kemudiannya majalah Santajiwa, dan paling akhir, dalam dekad lapan puluhan, diterbitkan pula majalah Peristiwa. Dari pejabat di Lundang juga, Yusoff Zaky Yaacob membina kembali majalah Pengasuh, dengan beliau sendiri menjadi Ketua Pengarang, dibantu oleh Muhammad Uthman El-Muhammady, Abdul Razak Mahmud dan almarhum Ismail Awang. (Ustaz Razak Mahmud, yang pernah bertugas sebagai sidang redaksi majalah Dewan Masyarakat, kemudiannya pindah memimpin majalah Pengasuh sehingga beliau bersara wajib).

Begitu sekali Yusoff Zaky Yaacob memberikan komitmennya kepada setiap usahanya. Pustaka Dian telah muncul sebagai penerbit dan pencetak paling berpengaruh di Kelantan.

Pun kendati sibuk dengan pemantauannya terhadap perjalanan dan kemajuan Syarikat Dian, Yusoff Zaky Yaacob tak pernah melepaskan penanya. Dan kemuncak dari kerja-kerja penanya ialah apabila beliau berjaya menyelesaikan ibadat menterjemahkan sebuah kitab tafsir al-Quran yang sangat besar, Fi Zilalil Quran, buah tangan Syed Qutb. Dan amat membanggakan sekali, cara terjemahan yang dibuat oleh Yusoff Zaky terhadap Fi Zilalil Quran begitu teliti, bukan sahaja dari segi diksinya, malahan dari segi ketepatannya. Walaupun tafsir Fi Zilalil Quran dianggap sebagai kitab tafsir yang paling keras, bahkan ada yang mensifatkannya sebagai ekstrem (mungkin kerana Syed Qutb sendiri menulis tafsiran tersebut ketika beliau di dalam penjara), namun di tangan Yusoff Zaky Yaacob, Fi Zilalil Quran menjadi begitu moderat, cantik dan sangat berseni. Ciri-ciri sejarah tidak diabaikan langsung, pun penggunaan bahasanya kelihatan begitu mengasyikkan.

Tidak ayal lagi, ini pun bertolak daripada peribadi Yusoff Zaky sendiri. Selain seorang ulama, Yusoff Zaky juga seorang pengkaji dan pencinta sejarah. Selain seorang pendakwah besar, Yusoff Zaky juga seorang pencinta ilmu bahasa. Dan semua aspek itu dibuktikannya dengan hasil kerja beliau.

Demikianlah Yusoff Zaky Yaacob, yang sepanjang hayatnya pernah dianugerahi pelbagai gelaran kenamaan, dianugerahi juga beberapa ijazah kehormat, namun senantiasa hidup dengan penuh sederhana. Sebilangan orang (sahabat) menganggap beliau seorang yang serius, berdasarkan buah fikirannya yang bernas dan tegas dalam beberapa aspek ilmu. Tetapi sebenarnya beliau adalah seorang yang cukup humoris, suka juga berjenaka atau bercerita dengan ciri-ciri cerita jenaka, tetapi yang sarat dengan kias dan tamsil.

Kini telah masuk sepuluh tahun beliau meninggalkan kita. Saat kepergiannya mengadap Ilahi sungguh mencetuskan keinsafan dan rasa tawaduk yang mendalam. Betapa tidak, sementara umat Islam baru sahaja habis berpuasa, dan fajar Syawal sedang dinanti-nanti, maka pada saat itu pulalah Yusoff Zaky Yaacob menghembuskan nafas terakhirnya di kediamannya yang serba sederhana di Paya Purnama, Kota Bharu, pada 1 Syawal 1419 Hijrah bersamaan 19 Januari 1999 Masihi.

Sepanjang hidup, jasanya cukup besar. Tetapi setelah sepuluh tahun beliau meninggal, apakah sebenarnya yang telah kita lakukan, sekurang-kurangnya untuk mengenang jasa-baktinya itu? Kecuali Seminar Yusoff Zaky Yaacob pernah dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, dan sebuah antologi cerpen selenggaraan Abdul Razak Mahmud yang memuatkan cerpen-cerpen yang pernah diterjemahkan oleh Yusoff Zaky (kesemua cerpen tersebut telah termuat dalam majalah Dian), seolah-olah semua pihak sedang melupakan tokoh besar tersebut.

Ternyata, rupanya kita bukanlah tergolong sebagai kalangan yang tahu mengenang dan menghargai jasa para ahli fikir kita sendiri. Wal-Lahu’a’lam.

Monday, August 31, 2009

Qariah Terulung Malaysia

Hajjah Faridah Mat Saman
oleh Haliza


KEJAYAAN diraih selepas melalui pelbagai kesukaran bukan saja memberi makna mendalam, malah akan terus menjadi aspirasi untuk seseorang itu terus maju dalam bidang yang diceburi. Begitulah semangat yang dirasakan bekas johan qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa, Faridah Mat Saman, 60, yang berjaya mengharumkan nama negara sebanyak lapan kali.Katanya, pengalaman qari serta qariah terdahulu berusaha mencari guru dan meningkatkan mutu bacaan ketika menyertai tilawah peringkat kebangsaan dan antarabangsa menjadikan setiap kejayaan detik manis untuk dikenang.Selain minat mendalam, penat lelah serta susah payah merantau mencari tok guru semata-mata untuk belajar taranum, selain memantapkan ilmu tajwid, terbayar apabila nama diumumkan sebagai johan majlis tilawah.“Dulu semua kena buat atas daya usaha sendiri.

Jika nak pandai lagi, kena berlatih setiap hari dan perlu rajin belajar dengan guru. Selepas menang, usaha tetap diteruskan kerana ilmu belajar al-Quran tidak berhenti selepas menjadi johan.“Selain semangat diri, dorongan keluarga membantu kami pada waktu itu. Saya rasa semangat itu tidak ada hari ini kerana kejayaan peserta tidak berulang seperti kami dulu,” katanya.Faridah berkata, sepatutnya sokongan serta bantuan daripada Kerajaan Pusat atau negeri menjadikan peserta tilawah lebih bersemangat mencapai kejayaan dan usaha itu tidak sepatutnya terhenti selepas berjaya menjadi johan.Qariah berasal dari Kelantan itu berkata, majlis tilawah al-Quran bukan pentas untuk menunjukkan siapa hebat antara mereka, tetapi lebih kepada menilai kemampuan diri selain menimba pengalaman daripada setiap peserta yang bertanding.Misi menyertai tilawah al-Quran ketika itu juga bukan untuk mengejar kejuaraan, sebaliknya didorong minat mendalam mempelajari ilmu pembacaan al-Quran dan berkongsi ilmu itu dengan pendengar.

Sejak penganjuran majlis tilawah peringkat antarabangsa dicetuskan bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra pada 1961, pelbagai perubahan serta elemen baru disuntik seiring dengan kemajuan dicapai negara.Ia termasuk dari segi konsep majlis tilawah, hadiah yang ditawarkan, jumlah negara yang menyertainya serta pelbagai kemudahan lain disediakan penganjur demi keselesaan peserta.Khusus bagi peserta negara, mereka kini mendapat sokongan serta bantuan daripada kerajaan negeri yang menyediakan peruntukan dan guru terlatih sebagai persediaan awal ketika menyertai tilawah peringkat kebangsaan.Sokongan yang sama turut disediakan penganjur untuk qari dan qariah yang layak mewakili negara di peringkat antarabangsa.Faridah berkata, perkembangan positif itu adalah bukti komitmen Malaysia memartabatkan majlis tilawah dan antara langkah berterusan penganjur menarik minat masyarakat dunia bersama mengembangkan syiar Islam.Beliau yang terbabit sebagai fasilitator kursus tahsin anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tahun ini berkata, peserta yang bertanding menunjukkan peningkatan membanggakan.Katanya, jika dulu kebanyakan peserta luar negara lemah dari segi bacaan berlagu, tetapi dengan usaha penganjur, kebanyakan mereka kini mampu memberi persembahan yang baik.“Saya gembira kerana dapat menyumbangkan ilmu membimbing peserta tilawah kali ini. Semangat mereka untuk belajar menunjukkan kesungguhan mendalami ilmu bacaan al-Quran.“Menjadi harapan saya, majlis tilawah al-Quran peringkat antarabangsa akan terus menjadi tradisi yang mengharumkan nama Malaysia.

Ini adalah cara kita menarik minat masyarakat untuk mendekati al-Quran,” katanya.Kejayaan Faridah memenangi tilawah peringkat antarabangsa sebanyak lapan kali menjadikan namanya terus terpahat di hati mereka yang setia mengikuti perkembangan acara yang diadakan setiap tahun menjelang kedatangan Ramadan.Penyertaan kali pertama mewakili Malaysia pada 1964 menjadikan beliau johan qariah pertama melakar nama pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa. Beliau juga menjadi johan qariah peringkat antarabangsa pada 1965, 1972, 1976, 1977 dan berjaya mempertahankan kejuaraan tiga kali berturut-turut pada 1989, 1990 dan 1991. Hingga kini, rekod johan qariah lapan kali yang disandang Faridah masih belum berjaya digugat qariah lain walaupun ada yang berjaya mencapai kejayaan berulang. Antaranya qariah dari Johor juga berasal dari Kelantan, Rahmas Abdullah, pernah mengharumkan nama negara sebanyak lima kali, sementara qariah dari Terengganu, Datuk Rogayah Sulong muncul johan peringkat antarabangsa sebanyak empat kali.

FAKTA Johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan

· QARI Kedah, Ismail Hashim, paling banyak menjuarai tilawah membaca al-Quran peringkat kebangsaan sejak diadakan pada 1960. Allahyarham muncul johan sembilan kali iaitu pada 1962, 1963, 1965, 1966/67, 1969, 1970, 1971, 1974 dan 1975.

· FARIDAH Mat Saman dari Kelantan adalah qariah palingbanyak muncul johan iaitu lapan kali. Faridah menang pada 1964, 1965, 1972, 1976, 1977, 1989, 1990 dan 1991.

· QARIAH Terengganu, Datuk Rogayah Sulong menjadi johan sebanyak tujuh kali iaitu pada 1961, 1963, 1966, 1973, 1974, 1978 dan 1979.

· QARIAH Johor, Rahmas Abdullah muncul juara sebanyak lima kali iaitu pada 1984, 1985, 1992, 1994 dan 1995.

· QARI Kedah, Abdul Ghani Abdullah juga menang lima kali iaitu pada 1972, 1977, 1978, 1980 dan 1982.

. KELANTAN paling ramai melahirkan juara qari dan qariah iaitu seramai 12 orang. Ini diikuti Terengganu, dengan tujuh peserta dan Johor pula enam peserta

Tuesday, July 7, 2009

Syariat, Tariqat, Haqikat dan Makrifat

Masalah Syariat, Tariqat, Haqiqat dan Makrifat adalah bidang-bidang atau cabang ilmu yang sangat khusus dan amat berbeza disegi pendekatan dan sumber perantara ilmu itu. Pertelingkahan antara Ulama Haqiqat dan Ulama Syariat telah berlaku sejak dulu lagi. Mereka sebenarnya "betul" dalam bidang masing-masing. Sebagaimana berlaku antara Nabi Musa dan Nabi Khaidir. Nabi Musa, walaupun seorang Nabi, beliau tidak mempunyai Makrifat. Jadi beliau menghukum sesuatu kejadian berdasarkan ilmu Syariat yang beliau tahu. Nabi Khaidir pula dikurniakan Allah ilmu Makrifat, jadi beliau menghukum sesuatu mengikut ilmunya. Jadi dalam perjalanan bersama-sama Nabi Musa, Nabi Khaidir telah membunuh seorang budak, membangun semula rumah yang telah hampir musnah dan mengapak kapal yang beliau tumpangi. Perbuatan ini amat bersalahan dengan Syariat Nabi Musa. Kerana tidak sabar, Nabi Musa menegur perbuatan Nabi Khidir. Dengan itu mereka terpaksa berpisah sebagaimana perjanjian yang telah dibuat sebelum perjalanan. Nabi Khaidir berbuat demikian kerana pada pandangan Makrifatnya, budak itu mesti dibunuh kerana ia bakal menjadi anak yang nakal, sedangkan ibu/bapanya orang yang solleh. Dibawah bangunan lama terdapat harta anak yatim yang belum dewasa. Dalam perjalanan dengan kapal, Nabi Khaidir merosakkan sedikit kapal yang ditumpanginya supaya tidak dirampas oleh Raja yang zalim di pelabuhan yang mereka akan singgah. Raja ini akan merampas kapal-kapal yang baik. Dalam hal ini Nabi Musa betul dengan ilmunya dan Nabi Khaidir betul dengan ilmunya.

Seperti juga berlaku pada Halaj, seorang wali Allah. Ia dihukum bunuh kerana dikatakan mengaku dirinya Allah dengan berkata `Anal Haq'. Pada pandangan Feqah (ilmu syariat) beliau telah bersalah dan perlu dihukum bunuh. Setelah kepalanya dipancung, darah tersembur dan membentuk perkataan "La ila ha illa llah" dipermukaan tanah. Dalam hal ini, ahli Syariat yang menghukum tidak bersalah dan Halaj juga tidak bersalah. Halaj berkata demikian kerana terlalu 'Zauk" atau telah fana didalam kewujudan Allah SWT.

Sumber hukum untuk masyarakat umum dalam Islam mestilah berlandaskan Syariat. Ini adalah untuk menjadikan hukum Islam bersistematik sebagaimana diamalkan oleh Rasulullah SAW. Laduni dan Kashaf sebenarnya bukan ilmu. Ia merupakan cara ilmu itu disampaikan.

Laduni bermaksud Allah memasukkan terus maklumat berkenaan sesuatu perkara ke dalam pengetahuan orang itu. Tidak melalui pendengaran atau penglihatan. Dengan perkataan lain tidak ada guru.

Khasaf pula bermaksud keupayaan seseorang itu melihat perkara-perkara yang ghaib pada mata kasar. Pandangan khasaf ialah pandangan menggunakan mata basir (mata batin atau mata ruhani). Kalau mata kasar menggunakan cahaya (cahaya matahari atau lampu) untuk melihat, mata basir menggunakan "nur" untuk melihat. Kekuatan mata basir berbeza-beza. Paling rendah boleh melihat dimensi jin (dan syaitan). Peringkat lebih tinggi boleh melihat dimensi malaikat (alam malakut), kemudian dimensi roh. Paling tinggi ialah dimensi ketuhanan (Alam Lahut). Jadi ilmu-ilmu ini walaupun sumbernya Allah SWT, tetapi melalui cara yang berbeza. Sesuai dengan Ilmu Syariat yang bersifat zahir dan membicara perkara-perkara yang zahir semata-mata, maka cara penyampaiannya juga menggunakan peralatan zahir, seperti guru zahir, kitab-kitab yang bersumberkan Quran dan Hadith Rasulullah SAW.

Tariqat ialah jalan atau cara-cara untuk mempertingkatkan IMAN, TAQWA dan seterusnya mendapatkan keredhaan Allah SWT. Jadi, untuk mendapatkan keredhaan Allah, mestilah menggunakan jalan atau peraturan yang diredhai Allah. Apabila sesorang pengamal tariqat beramal bersungguh-sungguh dengan ikhlas dibawah panduan seorang guru yang murshid, darjat IMAN dan TQWAnya meningkat dari sehari-kesehari. Hasil dari peningkatan ini, "dirinya" yang di dalam diri zahir, atau rohya, menjadi bertambah kuat dan sehat. Mata basirnya semakin terang sehingga pada suatu masa, cukup kuat sehingga boleh melihat alam ghaib atau kashaf. Setelah kasyaf dan sudah melihat dimensi-dimensi yang dijelaskan tadi, IMANnya meningkat dari ILMU YAKIN kepada AINUL YAKIN. Kalau dahulu murid itu yakin adanya alam ghaib kerana percaya kepada ilmu syariat yang dipelajari. Tetapi sekarang ini telah melihat sendiri adanya alam ghaib tersebut. Naiklah darjat menjadi AINUL YAKIN (Ain bermakna mata). Kemudian Allah membuka lagi lautan ilmu (maklumat) berkenaan dengan Rahsia Allah kepada murid ini melalui guru-guru ghaib yang terdiri daripada Wali-wali Allah atau ALLAH memberi terus melalui Laduni. IMAN murid tadi meningkat lagi sehingga HAQQUL YAKIN. Ia itu yakin sebenarnya-benar yakin. Inilah darjat yakin para nabi–nabi.
Setelah mengetahui rahsia-rahsia kejadian alam ini, maka dikatakan murid tadi telah mendapat HAQIQAT. Ia itu mengetahui kejadian makhluk Allah disegi zahirnya dan gahibnya (batinya). Setelah mendapat HAQIQAT, seterusnya murid tadi dengan kurniaNYA, mungkin akan ditambah lagi ILMUnya sehingga mengenal KHALIQ, Yang Maha Pencipta iatu ALLAH YANG MAHA PERKASA. Inilah dikatakan telah mendapat MAKRIFAT. Ia itu mengenal ALLAH sebagaimana ALLAH sendiri memberi tahu diriNYA.

Jadi sebagai kesimpulan, Tariqat itu masih berbetuk syariat kerana ia ilmu zahir. Hasil dari amalan tariqat, seseorang itu dikurniakan Haqiqat dan Makrifat. Guru murshid ialah guru yang telah mendapat sekurang-kurangnya peringkat Haqiqat kalaupun tidak mendapat Makrifat.

Jadi kesimpulanya, kalau kita bukan ahlinya, tak payahlah jadi macam orang buta yang cuba menceritakan bentuk seekor gajah. Orang buta yang pegang belalai tentu mengatakan gajah itu seperti ular. Orang buta yang pegang kaki, kata gajah macam tiang, begitulah seterusnya. Berkenaan dengan bagaimana nak membezakan sama ada sumber ilham atau guru ghaib itu yang haq (wali-wali misalnya) atau batil (syaitan). Ini perkara senang. Guru yang murshid akan dapat membantu muridnya. Guru murshid melihat dengan mata bashir dan dapat mengenal siapa sebenarnya yang datang. Syaitan memang pandai berupa, tetapi mata bashir lebih tajam. Syaitan itu boleh dibunuh.

Kalau berbicara masalah Tariqat, tak payahlah tanya mana hadis atau nasnya. Lihatlah siapa yang mengajar dan siapa muridnya. Mana salsilahnya. Tariqat yang betul jelas. Tariqat yang salah pun jelas. Kalau amalan Tariqat tersebut bersalahan dengan Syariat, jangan ragu lagi. Pasti salah. Seperti sembahyang tanpa kelakuan atau sembahyang niat atau dipanggil juga sembahyang batin, tentu salah kerana sembahyang mesti ada ketiga, niat, berkata-kata dan kelakuan. Kalau tidak menjaga aurat, bercampur laki-laki dan perempuan juga salah. Bahkan, semakin tinggi seseorang itu dalam perjalanannya menuju keredhaan Ilahi, semakin banyak dia bersembahyang. Sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Kalau semakin tidak sembahyang, sahlah syaitan atau ketua syaitan ia itu Iblislah gurunya.