Hajjah Faridah Mat Saman
oleh Haliza
KEJAYAAN diraih selepas melalui pelbagai kesukaran bukan saja memberi makna mendalam, malah akan terus menjadi aspirasi untuk seseorang itu terus maju dalam bidang yang diceburi. Begitulah semangat yang dirasakan bekas johan qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa, Faridah Mat Saman, 60, yang berjaya mengharumkan nama negara sebanyak lapan kali.Katanya, pengalaman qari serta qariah terdahulu berusaha mencari guru dan meningkatkan mutu bacaan ketika menyertai tilawah peringkat kebangsaan dan antarabangsa menjadikan setiap kejayaan detik manis untuk dikenang.Selain minat mendalam, penat lelah serta susah payah merantau mencari tok guru semata-mata untuk belajar taranum, selain memantapkan ilmu tajwid, terbayar apabila nama diumumkan sebagai johan majlis tilawah.“Dulu semua kena buat atas daya usaha sendiri.
Jika nak pandai lagi, kena berlatih setiap hari dan perlu rajin belajar dengan guru. Selepas menang, usaha tetap diteruskan kerana ilmu belajar al-Quran tidak berhenti selepas menjadi johan.“Selain semangat diri, dorongan keluarga membantu kami pada waktu itu. Saya rasa semangat itu tidak ada hari ini kerana kejayaan peserta tidak berulang seperti kami dulu,” katanya.Faridah berkata, sepatutnya sokongan serta bantuan daripada Kerajaan Pusat atau negeri menjadikan peserta tilawah lebih bersemangat mencapai kejayaan dan usaha itu tidak sepatutnya terhenti selepas berjaya menjadi johan.Qariah berasal dari Kelantan itu berkata, majlis tilawah al-Quran bukan pentas untuk menunjukkan siapa hebat antara mereka, tetapi lebih kepada menilai kemampuan diri selain menimba pengalaman daripada setiap peserta yang bertanding.Misi menyertai tilawah al-Quran ketika itu juga bukan untuk mengejar kejuaraan, sebaliknya didorong minat mendalam mempelajari ilmu pembacaan al-Quran dan berkongsi ilmu itu dengan pendengar.
Sejak penganjuran majlis tilawah peringkat antarabangsa dicetuskan bekas Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra pada 1961, pelbagai perubahan serta elemen baru disuntik seiring dengan kemajuan dicapai negara.Ia termasuk dari segi konsep majlis tilawah, hadiah yang ditawarkan, jumlah negara yang menyertainya serta pelbagai kemudahan lain disediakan penganjur demi keselesaan peserta.Khusus bagi peserta negara, mereka kini mendapat sokongan serta bantuan daripada kerajaan negeri yang menyediakan peruntukan dan guru terlatih sebagai persediaan awal ketika menyertai tilawah peringkat kebangsaan.Sokongan yang sama turut disediakan penganjur untuk qari dan qariah yang layak mewakili negara di peringkat antarabangsa.Faridah berkata, perkembangan positif itu adalah bukti komitmen Malaysia memartabatkan majlis tilawah dan antara langkah berterusan penganjur menarik minat masyarakat dunia bersama mengembangkan syiar Islam.Beliau yang terbabit sebagai fasilitator kursus tahsin anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tahun ini berkata, peserta yang bertanding menunjukkan peningkatan membanggakan.Katanya, jika dulu kebanyakan peserta luar negara lemah dari segi bacaan berlagu, tetapi dengan usaha penganjur, kebanyakan mereka kini mampu memberi persembahan yang baik.“Saya gembira kerana dapat menyumbangkan ilmu membimbing peserta tilawah kali ini. Semangat mereka untuk belajar menunjukkan kesungguhan mendalami ilmu bacaan al-Quran.“Menjadi harapan saya, majlis tilawah al-Quran peringkat antarabangsa akan terus menjadi tradisi yang mengharumkan nama Malaysia.
Ini adalah cara kita menarik minat masyarakat untuk mendekati al-Quran,” katanya.Kejayaan Faridah memenangi tilawah peringkat antarabangsa sebanyak lapan kali menjadikan namanya terus terpahat di hati mereka yang setia mengikuti perkembangan acara yang diadakan setiap tahun menjelang kedatangan Ramadan.Penyertaan kali pertama mewakili Malaysia pada 1964 menjadikan beliau johan qariah pertama melakar nama pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa. Beliau juga menjadi johan qariah peringkat antarabangsa pada 1965, 1972, 1976, 1977 dan berjaya mempertahankan kejuaraan tiga kali berturut-turut pada 1989, 1990 dan 1991. Hingga kini, rekod johan qariah lapan kali yang disandang Faridah masih belum berjaya digugat qariah lain walaupun ada yang berjaya mencapai kejayaan berulang. Antaranya qariah dari Johor juga berasal dari Kelantan, Rahmas Abdullah, pernah mengharumkan nama negara sebanyak lima kali, sementara qariah dari Terengganu, Datuk Rogayah Sulong muncul johan peringkat antarabangsa sebanyak empat kali.
FAKTA Johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan
· QARI Kedah, Ismail Hashim, paling banyak menjuarai tilawah membaca al-Quran peringkat kebangsaan sejak diadakan pada 1960. Allahyarham muncul johan sembilan kali iaitu pada 1962, 1963, 1965, 1966/67, 1969, 1970, 1971, 1974 dan 1975.
· FARIDAH Mat Saman dari Kelantan adalah qariah palingbanyak muncul johan iaitu lapan kali. Faridah menang pada 1964, 1965, 1972, 1976, 1977, 1989, 1990 dan 1991.
· QARIAH Terengganu, Datuk Rogayah Sulong menjadi johan sebanyak tujuh kali iaitu pada 1961, 1963, 1966, 1973, 1974, 1978 dan 1979.
· QARIAH Johor, Rahmas Abdullah muncul juara sebanyak lima kali iaitu pada 1984, 1985, 1992, 1994 dan 1995.
· QARI Kedah, Abdul Ghani Abdullah juga menang lima kali iaitu pada 1972, 1977, 1978, 1980 dan 1982.
. KELANTAN paling ramai melahirkan juara qari dan qariah iaitu seramai 12 orang. Ini diikuti Terengganu, dengan tujuh peserta dan Johor pula enam peserta